Navbar

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan berangkat merasmikan Kejohanan Catur Peringkat Umur Asean Kali Ke-18

Sophian A. 22nd Nov 2017 Event

WhatsApp

Photo by Portal DiRaja Pahang

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan berangkat merasmikan Kejohanan Catur Peringkat Umur Asean Kali Ke-18 yang akan berlangsung dari 25 November hingga 4 Disember bertempat di Hotel Grand Darulmakmur Kuantan Pahang.

Majlis Rasmi Pembukaan akan diadakan di Astana Ballroom, Hotel Grand Darulmakmur Kuantan pada Ahad bersamaan 26 November 2017. Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan berangkat tiba ke majlis tersebut pada pukul 9:30 pagi diikuti bacaan doa dan Titah Ucapan Baginda.

Turut sama akan hadir di Majlis Rasmi Pembukaan itu nanti ialah Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Bin Haji Yaakob dan Presiden Persekutuan Catur Malaysia, YB. Dato’ Zahidi Bin Zainul Abidin serta Ahli-Ahli Exco Kerajaan Negeri Pahang.

Di atas inisiatif Persatuan Catur Pahang dan dengan Kerjasama Kerajaan Negeri, Malaysia telah terpilih menjadi tuan rumah bagi temasya sukan catur tahunan ini. Presiden dan Ahli-Ahli Tertinggi serta Exco Persekutuan Catur Malaysia mengucapkan syabas dan tahniah kepada Persatuan Catur Negeri Pahang di atas penganjuran kali ini dan semoga Kejohanan Catur Peringkat Umur Asean Kali Ke-18 di Kuantan Pahang akan berjalan dengan jayanya.